Apa itu metafizik?



Artikel ini merupakan sebuah usaha terjamahan daripada artikel berbahasa inggeris dengan judul yang sama oleh Profesor Peter Adamson.
Kerapkali saya menghadapi pengalaman yang mengecewakan ketikamana merewang dalam sebuah kedai buku, melihat rak yang ditanda dengan perkataan ‘Metafizik’ dan, apabila meneliti judul-judulnya, hanya mendapati ia penuh dengan tema-tema ‘self-help’, ‘kesedaran penuh’, dan yang sedemikiannya. Saya tidaklah hairan apabila para penggemar genre sebegini kerapkali merasa kecewa apabila mendapati kursus ‘Metafizik’ yang mereka ikut serta Secara sukarela melibatkan perbahasan-perbahasan berkenaan hakikat realiti, tentang identiti, dan permasalahan ‘free will’.
Kekeliruan berkenaan apa itu metafizik, sebenarnya, bukanlah isu yang baru. Seorang yang berlatar fikiran sejarawi yang ditanyakan persoalan ini mungkin akan menjawab metafizik secara mudahnya meneliti jenis-jenis isu yang dibicarakan dalam Metaphysics[1] Aristotle- tulisan pertama yang menggunakan perkataan Metaphysics sebagai judulnya. Akan tetapi jawapan ini memerlukan penjelasan yang terperinci: Aristotle tidak menjudulkan tulisannya sedemikian, dan sememangnya tulisan tersebut hampir saja merupakan himpunan bahan-bahan yang tidak ada kaitan antara satu sama lain dan dihimpunkan berkurun selepas kematian Aristotle.[2]
Oleh kerana ia merupakan sebuah himpunan, mungkin kita tidak sepatutnya menjangkakan adanya sebuah kesatuan dalam temanya. Mungkin sahaja ia dinamakan sedemikian hanya kerana ia sepatutnya dibaca selepas (dalam bahasa Greek, meta) perbincangan tentang falsafah alam semulajadi dalam tulisan Physicsbeliau- maka jadilah Metaphysics. Pun begitu, mungkin juga penghimpun tulisan-tulisan Aristotle mempunyai alasan yang kukuh untuk menghimpunkan bahan-bahan tersebut sebagai satu teks. Para peneliti yang bijaksana sejak zaman pengulas kuno seperti Alexander daripada Aphrodisias kepada pengulas-pengulas agung zaman pertengahan seperti Ibnu Rushd dan Thomas Aquinas telah mengenalpasti bahawa sememangnya terdapat sebuah usaha yang bersepadu yang sedang digiatkan dalam tulisan tersebut- walaupun mereka tidak dapat bermuafakat tentang apakah kandungan usaha tersebut.
Khilaf ini sebenarnya memang sepatutnya dapat dijangkakan. Ini kerana Metaphysics Aristotle menjangkaui permasalahan yang sangat mencapah, daripada prinsip non-kotradiksi, ke hakikat Tuhan; daripada analisis tentang kewujudan-kewujudan materi (material substances), ke hujahbalas terhadap idea Plato tentang matematik. Bahkan salah satu bahagian dalam tulisan tersebut malah berperanan sebagai sebuah kamus falsafah. Walaubagaimanapun, jika kita masih mahu cuba mengkhususkan mauduknya kepada satu, maka jawapan yang paling padan ialah kewujudan (being). Aristotle dalam bukunya membahaskan dengan panjang lebar tentang kewujudan, khususnya dalam bahagian tengah yang sangat merenyahkan, yang mana penelitian tentang jawhar (substance) sangatlah penting dalam kajian tentang kewujudan (khususnya kerana perkataan Greek untuk jawhar, ousia, diperoleh daripada kata kerja einai, bermaksud ‘menjadi’).
Dari sudut pandang ini, dalam erti kata ia mengkaji tentang kewujudan itu sendiri, metafizik sememangnya layak untuk didakwa sebagai subjek falsafah yang paling umum, justeru, merupakan disiplin ilmu yang paling mendasar dan asas berbanding ilmu-ilmu yang lain. Etika hanya mengkaji kebahagiaan dan fadilat (virtues); zoologi hanya mengkaji haiwan; fizik pula hanya mengkaji objek-objek fizikal. Metafizik pula mengkaji malah semua perkara yang memiliki kewujudan.
Salah satu rumusan Aristotle dalam metafizik ialah kewujudan itu boleh diungkapkan dengan pelbagai cara- oleh itu, ia (kewujudan) mengambil bentuk dalam pelbagai cara. Saya sendiri, sebagai contoh, memiliki kewujudan yang berlainan cara- yakni lebih asas- dengan kewujudan warna kulit saya[3]. Dalam terminologi Aristotle, warna kulit saya hanyalah ‘accident’- sebuah sifat yang saya punyai dan bergantung kepada saya untuk kewujudannya; sedangkan saya sendiri ialah sebuah ‘substance’, bererti saya memiliki kewujudan yang berdikari daripada benda-benda lain.
Setelah kita berfikir dalam garis fikiran sebegini, kita mungkin bertanya: adakah atau tidak jenis-jenis kewujudan lain yang paling mendasar atau asas?
Di sini Aristotle membincangkan Budi Mujarrad (Immaterial Intellect) yang, dalam pandangannya, bertanggungjawab mentadbir pergerakan langit. Sebuah Budi yang melampaui (transcends) segala sesuatu, memulakan dan mengelola pergerakan seluruh alam dengan cara tafakkur. Inilah Tuhan Aristotle.
Mungkin sememangnya perancangan Aristotle dari awal lagi adalah untuk bergerak melalui tertib persediaan sebelum akhirnya sampai kepada objek kajiannya yang sebenar, iaitu Penggerak Pertama (First Mover). Maka, apabila kita menuturi sepanjang penulisan Metaphysics, kita akan dapat menggarap hakikat penjelasan utama (first cause) terhadap semua perkara, iaitu Tuhan. Ini kerana, menurut Aristotle, kita memahami apa-apa perkara melalui pencerapan terhadap penjelasannya (cause). Dengan itu, metafizik menyediakan tapak untuk mengkaji lain-lain perkara. Dengan demikian, keunggulan metafizik berhubungkait dengan keunggulan Tuhan.
Lalu kita dibentangkan dengan dua cara untuk memahami karya Aristotle, Metaphysics, dan kemudiannya disiplin metafizik itu sendiri: adakah risalah Metaphysics sebenarnya memerihalkan (1) kewujudan, (2) atau tentang Tuhan? Atau di sini mungkin saja sebenarnya terdapat dua jenis ilmu yang berlainan: adalah menjadi sebuah tradisi untuk mengatakan tentang metaphysica specialis(tentang Tuhan) dan metaphysica generalis (tentang kewujudan). Namun mengiyakan pembahagian ini mengimplikasikan bahawa hakikatnya tidak terdapatnya usaha Aristotle untuk menyusun ilmu yang bersepadu.
Pembahagian inilah yang didebatkan antara dua orang pemikir besar dalam dunia Islam, Ibnu Sina dan Ibnu Rushd. Ibnu Sina teguh mempercayai bahawa metafizik ialah projek kajian tentang kewujudan, dan bercakap tentang Tuhan dan membuktikan kewujudanNya, adalah salah satu bahagian dalam keseluruhan badan ilmu tersebut. Ibnu Rushd tidak bersetuju. Beliau mengetengahkan hujahan bahawa Aristotle telah membuktikan tuhan dalam tulisan lain, Physics, dan Metaphysics cuma membahaskan hubungkaitan sebab-akibat (causality) Tuhan. Beginilah sepatutnya. Sebagai punca atau penjelasan utama (first cause) kepada kewujudan, Tuhan ialah subjek khusus bagi disiplin metafizik; dan Aristotle mengajarkan bahawa tidak sepatutnya apa-apa disiplin cuba untuk membuktikan kewujudan subjek perbahasannya sendiri[4].
Perdebatan ini sangatlah relevan untuk pemahaman kita tentang metafizik secara amnya hari ini. Ini kerana perkaitan yang begitu lama antara perkataan ‘metafizik’ dengan teologi atau perkara-perkara ghaib ada akarnya dalam garis masa sejarah. Oleh kerana yang demikian, terdapatnya beberapa kelompok yang curiga dengan keseluruhan badan ilmu ini. Pun begitu, tidak perlulah terma dan disiplin ini ditolak sepenuhnya kerana terdapat juga sejarah yang sama sahih dalam memerihalkan metafizik sebagai sesuatu yang berlainan daripada apa yang difahami secara meluas hari ini- iaitu disiplin yang mengkaji kewujudan. Ini, seperti yang telah dibentangkan, menjadikan ia sebagai sebuah badan ilmu yang paling asas dalam pengajian falsafah.
[1] Saya membezakan metafizik sebagai sebuah badan ilmu dan Metaphysicssebagai sebuah buku dengan mengekalkan penggunaan bahasa inggeris berserta Italic sebagai nama khusus kepada karya Aristotle, dan menterjemahkan ke dalam ejaan bahasa Melayu untuk metafizik sebagai sebuah badan ilmu.
[2] Keseluruhan karya Aristotle sebenarnya merupakan himpunan nota syarahan beliau dan bukannya dibukukan oleh beliau sendiri. Justeru, terdapat beberapa bahagian dalam tulisan beliau yang dijudulkan bukan oleh beliau sendiri.
[3] Saya memberikan contoh yang berlainan daripada teks asal kerana ia merupakan contoh yang lebih senang dikenalpasti.
[4] Di bahagian lain dalam tulisan beliau, episteme (science), Aristotle menggariskan beberarpa syarat untuk semua badan ilmu. Antaranya ialah sebuah badan ilmu tidak patut berusaha membuktikan kewujudan subjek khususnya sendiri, kerana itu merupakan tugas disiplin lain yang lebih tinggi daripadanya. Sebagai contoh, ilmu biologi tidak berperanan untuk membuktikan kehidupan (life), sebaliknya hanya mengkaji bagaimana kehidupan berfungsi. Kehidupan, walaubagamanapun, dibuktikan kewujudannya oleh disiplin metafizik.

Rujukan

Adamson, Peter. 2016. What is Metaphysics Anyway? Accessed February 14, 2017. https://philosophynow.org/issues/117/What_is_Metaphysics_Anyway.
Vella, John A. 2008. Aristotle: A Guide for the Perplexed. London: Continuum International Publishing Group.
https://alwiradhiah.wordpress.com/2017/02/15/apa-itu-metafizik/

Advertisements

0 comments:

Powered by Blogger.